Jumaat, 26 April 2013

KELEBIHAN BULAN REJAB

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
“Ketahuilah bahawa bulan Rajab itu adalah bulan ALLAH, maka barangsipa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rajab dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH SWT.

Barangsiapa yang berpuasa dua hari dalam bulan Rajab mendapat kemuliaan di sisi ALLAH SWT.

Barangsiapa berpuasa tiga hari dalam bulan Rajab, maka ALLAH akan menyelamatkannya dari bahaya dunia, seksa akhirat, dari terkena penyakit gila, penyakit putih-putih di kulit badan yang menyebabkan sangat gatal dan diselamatkan dari fitnahnya syaitan dan dajjal.

Barangsiapa berpuasa tujuh hari dalam bulan Rajab, maka ditutupkan tujuh pintu neraka Jahanam.

Barangsiapa berpuasa lapan hari dalam bulan Rajab, maka dibukakan lapan pintu syurga baginya.

Barangsiapa yang berpuasa lima hari dalam bulan Rajab, permintaannya akan dikabulkan oleh ALLAH SWT.

Barangsiapa berpuasa lima belas hari dalam bulan Rajab, maka ALLAH mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barangsiapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH akan menambahkan pahalanya.”

Sabda Rasulullah SAW: “Pada malam Mikraj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari ais dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya Jibril as: “Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?”

Berkata Jibril as: “Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rajab.”

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita:
“Ketika kami berjalan bersam-sama Nabi SAW melalui sebuah kubur, lalu Nabi berhenti dan Baginda menangis dengan amat sedih, kemudian baginda berdoa kepada ALLAH SWT. Lalu saya bertanya Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah SAW, mengapakan anda menangis?”
Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kubur mereka, dan saya berdoa kepada ALLAH, lalu ALLAH meringankan seksa ke atas mereka.”
Sabda Rasulullah SAW lagi: “Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari saja dalam bulan Rajab, dan mereka tidak tidur semalam sahaja di bulan Rajab nescaya mereka tidak akan diseksa dalam kubur.”
Tsauban bertanya: “Ya Rasulullah SAW, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rajab sudah boleh mengelakkan dari seksa kubur?”
Sabda Rasulullah SAW: “Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rajab dengan niat kerana ALLAH, kecuali ALLAH mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun.”
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Rajab adalah bulan ALLAH, Sya’ban adalah bulan aku (Rasulullah SAW) dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku.”
“Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rajab, Sya’ban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang serta tidak ada rasa lapar dan haus bagi mereka.”

Di sini saya ingin mengongsikan beberapa kelebihan bulan REJAB..
 
KELEBIHAN BULAN REJAB

Beberapa hadis lagi Rasulullah saw menunjukkan kelebihan bulan rejab:
1. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah memuliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat.
2. Bulan Rejab bulan Allah, bulan Sya’ban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku.
3. Kemuliaan Rejab dengan malam Isra’ Mi’rajnya, Sya’ban dengan malam nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul-Qadarnya.
4. Puasa sehari dalam bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi (Firdaus). Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.
5. Puasa 3 hari pada bulan Rejab, dijadikan parit yang panjang yang menghalangnya ke neraka (panjangnya setahun perjalanan).
6. Puasa 7 hari pada bulan Rejab, ditutup daripadanya 7 pintu neraka.
7. Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga, dan menjadi orang yang pertama menziarahi Allah dalam syurga.
8. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan ialah seperti kelebihan Al-Quran ke atas semua kalam (perkataan).
9. Puasa sehari dalam bulan Rejab seumpama puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari syurga.
10. Bulan Rejab Syahrullah (bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada-Nya. Puasa dalam bulan Rejab, wajib bagi yang berpuasa itu:
a. Diampunkan dosa-dosanya yang lalu.
b. Dipelihara Allah umurnya yang tinggal.
c. Terlepas daripada dahaga di akhirat.
11. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan pada akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya.
12. Siapa bersedekah dalam bulan Rejab, seperti bersedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya pada setiap helai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjah, dihapus seribu kejahatan.

Selasa, 23 April 2013

DOA DALAM SETIAP GERAKAN ANGGOTA WUDUK

Ramai di kalangan kita yang tidak mengetahui bahawa di setiap basuhan anggota wuduk itu ada doanya. Tujuannya adalah bagi mengikat hati kita daripada leka dan lalai ketika mengambil wuduk. Di sini saya sertakan sekali doa bagi setiap anggota yang dibasuh dan disapu. Semoga ianya bermanfaat untuk semua.

1. Doa ketika membasuh dua telapak tangan:
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِي جَعَلَ اْلمَاءَ طَهُوْرًا
Ertinya: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala Puji bagi Allah yang menjadikan air itu suci.

2. Doa ketika berkumur:
اَللَّهُمَّ اَسْـقِـنِى مِنْ حَوْضِ نَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَأْسًا لاَ أَظْمَأُ بَعْدَهاَ أَبَدًا
Ertinya: Ya Allah, curahkan segelas air dari telaga Nabimu Muhammad SAW yang tidak akan kehausan setelah itu selama-lamanya.

3. Doa ketika membasuh hidung:
اَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنِى رَائِحَةَ جَـنَّتِكَ
Ertinya:Ya Allah, janganlah Engkau haramkan aku mencium harumnya surgaMu.

4. Doa ketika membasuh muka:
اَللَّهُمَّ بَيِّضْ وَجْهِى يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوْهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوْهٌ
Ertinya: Ya Allah! beri cahaya di wajahku pada hari bercahaya.

5.a)Doa ketika mencuci tangan kanan:
اَللَّهُمَّ اَعْطِنِى كِتاَبِى بِيَمِيْنِى وَحَاسِبْنِى حِسَاباً يَسِيْرًا
Ertinya: Ya Allah! berikanlah kepadaku kitabku dari sebelah kanan dan hitunglah amalanku dengan perhitungan yang mudah.

   b)Doa ketika mencuci tangan kiri:
اَللَّهُمَّ لاَ تُعْطِنِى كِتاَبِى مِنْ يَساَرِىْ وَ لاَ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِىْ
Ertinya: Ya Allah! aku berlindung denganMu dari menerima kitab amalanku dari sebelah kiri atau dari sebelah belakang.

6. Doa ketika membasuh kepala:
اَللَّهُمَّ حَرِّمْ شَعْرِيْ وَبَشَرِيْ مِنَ النَّارِ وَاَظِلَّنِي تَحْتَ عَرْشِكَ يَوْمَ لاَ ظِلَّ اِلاَّ ظِلُّكَ
Ertinya:Ya Allah, haramkan rambutku dan kulitku dari neraka dan lindungilah aku dari ArsyMu pada hari tidak ada perlindungan kecuali perlindunganMu.

7. Doa ketika membasuh dua telinga:
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ الَّذِيْنَ يَسْتَمِعُوْنَ اْلقَوْلَ فَيَتَّبِعُوْنَ أَحْسَنَهُ
Ertinya:Ya Allah, jadikanlah aku termasuk orang-orang yang mendengarkan kata dan mengikuti sesuatu yang terbaik.

8. Doa ketika membasuh dua telapak kaki:
اَللَّهُمَّ ثَبِّتْ قَدَمَّي عَلَى الصِّرَاطِ يَوْمَ تَزِلُّ فِيْهِ اْلاَقْدَامُ
Ertinya: Ya Allah, mantapkan kedua kakiku di atas titian (shirothol mustaqim) pada hari dimana banyak kaki-kaki yang tergelincir.

9. Doa setelah selesai berwuduk :
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِي مِنَ اْلمُتَطَهِّرِيْنَ وَاجْعَلْنِي مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Ertinya: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu baginya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusanNya. Ya Allah! Jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bersuci dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang soleh.

Khamis, 7 Mac 2013

KEBAIKAN MENJILAT JARI SELEPAS MAKAN

Sudah menjadi amalan untuk setiap bagi kita menggunakan tangan sebagai anggota utama untuk menyuap makanan ketika menjamah setiap jenis makanan. Malah, sudah selari dengan pandangan dan pemahaman budaya bagi setiap masyarakat di Malaysia, golongan Melayu lebih cenderung menggunakan tangan untuk makan berbanding menggunakan sudu dan garfu.

Namun, pasti antara kita sebenarnya tidak mengetahui tentang kelebihan dan kebaikan yang sebenar menggunakan jari ketika makan. Di dalam agama Islam, Allah S.W.T telah memilih Rasulullah S.A.W untuk dijadikan model dan peranan kepada seluruh umatnya bagi mengikut segala amalan dan kebaikan yang dibawa oleh Rasul terakhir itu. Antara perbuatan Rasulullah S.A.W yang menjadi sunah dan perlu diikuti tentang aspek etika diet dan tatacara pemakanan sihat Rasulullah ialah makan menggunakan jari dan menjilat jari setelah selesai makan.

Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Apabila seseorang dari kalian makan, maka jilatlah jari-jarinya kerana dia tidak tahu di bahagian jari manakah keberkatan itu berada.”
– Shahih Muslim; 2035.

Daripada Kaab bin Malik Radiallahhuanhu berkata,
“Aku telah melihat Rasullullah S.A.W sedang makan dengan tiga jari, maka apabila selesai, Rasullullah menjilat jarinya.”

Mengikut sunah Rasulullah, baginda sering makan menggunakan tiga jari dan pasti akan menjilat jarinya selepas selesai menjamah makanan kerana pada hakikatnya, setiap jari itu mengandungi enzim dan asid yang membantu menghadam makanan.

Malah, kenyataan itu juga turut diperakui oleh pengkaji saintifik yang mengesahkan jari-jari kita mempunyai asid dan enzim juga sejenis cecair yang memudahkan proses pembuangan dan dapat menyembuhkan penyakit sembelit. 

Amalan itu sudah lama diamalkan oleh Rasulullah dan masih lagi digalakkan kepada umatnya walaupun sudah hampir lebih dari 1,400 tahun amalan sunat itu dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita meskipun ramai di antara kita memandang enteng perkara seperti ini.

Asid dan bahan kimia yang terdapat di jari kita sememangnya mempunyai fungsinya sendiri. 

Sebagai contoh, ibu bapa kita tidak menggalakkan kita mengambil makanan dengan menggunakan tangan atau jari. Sebaliknya, kita harus menggunakan sudu kerana makanan akan cepat basi akibat tindak balas asid dan enzim di jari kita. 
Begitu jugalah proses pencernaan akan berlaku dalam perut kita sekiranya kita mengamalkan sunah yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. 

Islam itu adalah agama yang terlalu mudah untuk diamalkan oleh umatnya dan setiap perkara yang dibawa dan diajar oleh Rasulullah S.A.W itu mempunyai maksud dan manfaat yang tersirat yang terkadang itu tidak terjangkau oleh pemikiran manusia lain.

Marilah kita sama-sama amalkan didikan dan sunah terbaik ini sebagai cara hidup yang terbaik dalam tingkah laku seharian baik di dalam perilaku kita atau pun hal berkaitan dengan pemakanan.