Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada
amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut
ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu
ibadat yang dilakukan.
Seumpama solat yang menjadi amalan terawal
dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat
wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat
melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat
fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan
jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik
daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.
Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti
berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari
dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.
Menjadi
kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama
enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan
Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh
Allah S.W.T.
Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith
daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa
enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian
diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang
tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga
dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi,
al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini
adalah hadith sahih.
Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di
dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam
Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya
puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa
seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”
Terdapat beberapa
persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung
dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut
atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada
secara berturut-turut atau sebaliknya.
Pendapat di dalam mazhab
Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya
ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari
berturut-turut.
Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu
melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan
pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak
mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu
ibadah juga.
Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa
sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan
meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu
diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan
puasa Syawal.
Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim
ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada
mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan
pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.
Ini bermakna bahawa puasa
sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika
sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana
ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal
seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka
jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.
Apakah
hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6
hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?
Syeikh
al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di
dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan
kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan
Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan
pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara
puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan
puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan
niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.
Para
ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan
terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari
walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi
pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut
kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan
Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau
lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu
kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan
pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk
puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.
Sebagai kesimpulannya, adalah
terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa
lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain.
Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan
niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang
dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.
Antara
hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu
latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak
pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu
konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.
Ia juga sebagai satu
cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu
bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin
di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu
benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat
secara istiqamah dan berpanjangan.