Pertama : Ganjaran di dunia.
Selain ganjaran-ganjaran di akhirat yang dijanjikan dalam hadis Nabi
saw terhadap golongan Hamlatul Quran, terdapat juga ganjaran di dunia
yang diberikan terhadap mereka.
1. Para penghafaz al-Quran merupakan orang yang dimuliakan oleh Allah S.W.T .
Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Sesungguhnya Allah memiliki
kerabat-kerabatnya di kalangan manusia”. Lalu mereka bertanya :
“Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W?” Jawab baginda : “Mereka adalah
ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang
pilihannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
2. Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Penghafaz al-Quran mendapat pengiktirafan dari Nabi S.A.W.
Terdapat dalam sirah selepas perang Uhud, Nabi S.A.W mengutamakan
seorang syahid yang banyak hafalan al-Qurannya. “Adalah nabi
mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian baginda bersabda
maksudnya: “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal
al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka baginda
mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Hadis Riwayat Bukhari)
4. Al-Quran menjanjikan kebaikan.
Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 191
yang bermaksud, “Orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa berdiri
dan duduk, dan semasa mereka berbaring mengiring.” Berdasarkan ayat ini
ulama tafsir menyatakan kelebihan hafiz yang boleh membaca al-Quran
dalam setiap keadaan. Ini berbeza dengan orang yang hanya boleh
membaca melalui naskhah yang perlu disertakan dengan adab serta
peraturan tertentu
Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Sebaik-baik kamu adalah yang
mempelajari Al Quran dan yang mengajarkannya” (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Kedua : Ganjaran di akhirat
1. Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesiapa membaca al-Quran dan
beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya
akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan
melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di
dalam rumah-rumah kamu di dunia ini”.
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Allah SWT juga memberi jaminan ganjaran kepada ahli keluarga bagi
hafiz al-Quran sebagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan
bahawa ibu bapa bagi penghafaz al-Quran akan dimuliakan di akhirat
termasuk sepuluh orang ahli keluarga yang turut menumpang syafaat
memasuki syurga.
Sabda Rasulullah lagi, maksudnya : “Barangsiapa membaca Al Quran dan
mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram
maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat
10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.” (Hadis Riwayat
Tarmizi)
2. Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong).
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda maksudnya : “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan
menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya
(penghafalnya).”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah S.A.W. bersabda,maksudnya :
“Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca
dan mempelajari al-Quran,kecuali mereka akan memperolehi
ketenteraman,diliputi rahmat,dikelilingi para malaikat dan mereka
sentiasa disebut-sebut oleh Allah di kalangan para malaikat (yg di
langit).”(Hadis Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud).
3. Penghafaz al-Quran mendapat ganjaran berlipat kali ganda.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf
daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya
(al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku
tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf,
lam satu huruf dan mim itu satu huruf”.
(Hadis Riwayat Tarmizi)