Isnin, 12 Ogos 2013

KESAN BURUK MENINGGALKAN SOLAT 5 WAKTU

SEKSA MENINGGALKAN SOLAT

"Apakah yang menyebabkan kamu semua masuk neraka Saqar ini? Mereka menjawab: Kami tidak termasuk golongan orangorang yang bersembahyang." (AlMudathsir:42,43)

Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang fardu, seksanya umpama:-

Subuh:
Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka jahanam selama 60 tahun.


Zuhur:
Dosanya seperti membunuh seribu orang Islam.

Asar: Dosanya seperti meruntuhkan Kaabah.

Maghrib: 
Dosanya seperti berzina dengan ibu atau bapanya sendiri.

Isyak:
Allah berseru kepada mereka, "Hai orang yang meninggalkan solat Isyak, bahawa Aku tidak lagi reda engkau tinggal di bumi-Ku dan menggunakan nikmat-nikmat-Ku." Segala gerak - gerinya seperti pakai, makan, tidur adalah berdosa kepada Allah.

Selasa, 6 Ogos 2013

KELEBIHAN PUASA SUNAT ENAM HARI DI BULAN SYAWAL

Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.

Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.

Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.

Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.

Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?

Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.

Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.

Ahad, 5 Mei 2013

SELAWAT FATIH

Selawat Fatih ini mampu membukakan asrar (rahsia) ajaib yang menghairankan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya seratus kali setiap hari. Ramai yang mempertikaikan selawat ini tetapi mengejar sesuatu fadhilat itu tidak salah.

Sememangnya naluri manusia inginkan sesuatu sebagai imbuhan, umpamanya pahala dan fadhilat membaca sesuatu selawat. Itulah hikmah diwujudkan fadhilat.

Rasulullah SAW bersabda bahawa ulama itu pewaris Nabi. Tidaklah menjadi kesalahan kalau nak diamalkan kerana ia masih lagi ibadat dan tidak ada pula isi yang berunsurkan apa-apa yang menentang Al-Quran dan As-Sunnah.

Selawat Fatih dari  As-Sayyid Abul Makkkarim Asy-Syeikh Muhammad Syamsuddin;

Huraian Makna Selawat Fatih: 

Ustaz Haji Ahmad Tunggal, Pengerusi Jamaah Wirid Khaujakan Johor, menulis dalam bukunya “Amalan Kecemerlangan Rohani” (1993) seperti berikut:
 
Yang membuka apa yang tertutup – Dunia ini asalnya tidak ada dan masih tertutup. Maka dijadikan dunia ini adalah disebabkan wujudnya Nabi Muhammad  SAW. Kalaulah tidak ada Nabi Muhammad SAW tidaklah akan wujud dunia ini. Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi sekalian alam. Rahmat dan kenabian bagi sekalian makhluk termasuk manusia, jin dan binatang. Hati manusia juga pada mulanya tertutup dengan syirik, tertutup dengan kezaliman dan kejahilan.
 
Iman, Islam dan akhlak tertutup, semuanya itu dibuka oleh Nabi Muhammad SAW dengan dakwah yang berpandukan kitab Al Quran. Terbukalah kebenaran akidah dan syariat Islam, terbukalah akhlak dan budi pekerti yang luhur, terbukalah keadilan sosial dan terbukalah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW yang membuka apa yang tertutup.

Dan penyudah (penamat) apa yang telah lalu – Tidak ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad SAW Juga sebagai penutup berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj  dan penutup kitab suci Al Quran.

Dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran – Pertolongan Nabi Muhammad SAW yang benar ialah Al Quran. Di dalamnya mengandungi segala kelengkapan termasuk akidah, syariat, akhlak, ibadat, bermasyarakat bernegara, falsafah dan mistik. Manusia tidak akan mengetahui kebenaran tersebut tanpa pertolongan Nabi SAW .
 
Dan yang menunjukkan jalan-Mu yang lurus – lalu yang ditunjukkan oleh Nabi SAW adalah jalan yang lurus, betul dan tegak. Ertinya jalan yang lurus itu adalah ialah jalan Islam, jalan selamat sejahtera dan bahagia. Mustakim selain dari makna lurus boleh diertikan yang tetap dan teguh pendirian dalam melaksanakan perintah Allah. Selain dari Nabi SAW  penolong kebenaran ia juga memimpin. Memipin ke jalan yang lurus sejahtera dan selamat.


Kelebihan Dan Fadhilat Selawat Fatih:


Selawat Fatih juga mempunyai keistimewaan yang tersenidiri seperti mana yang telah disusun oleh para ulamak terdahulu. Antara kelebihan Selawat Fatih ialah :

1.  Berkata sebahagian ulamak Maghribi, berselawat sekali dengan Selawat Fatih menyamai 10 000 atau 600 000 yang lain.

2.  Dibaca 11 kali selepas solat fardhu, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil dan aman tenteram jiwanya.

3.  Dibaca 21 kali setiap hari, luas rezeki dan keluarganya selamat dari kesusahan.

4.  Sesiapa beristiqamah berselawat Fatih 40 hari, dosanya akan diampuni Allah.
 
5.  Sesiapa mengamalkan  dengan istiqamah, nescaya akan terbuka rahsia keajaiban, menghilangkan dukacita, mendapat hidayah dan tercapai segala hajat. Dan akan menjadi ahli syurga, walaupun hanya membaca sekali seumur hidup.

6.  Kebanyakan daripada arifin menyebut bahawasanya selawat ini dapat membukakan asrar (rahsia) ajaib yang terhairan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya 100 kali setiap hari,

7.  Sesungguhnya sesiapa yang tekun membacanya setiap hari 100 kali dibukakan baginya banyak daripada hijab. Dan hasil baginya daripada anwar. Dan ditunaikan segala keinginannya; dengan qadar yang tidak diketahui melainkan oleh Allah Ta’ala.

8. Selawat ini bermanfaat kepada orang Mubtadi, Mutawassith dan Muntahi.

9. Sesiapa yang berselawat dengan Selawat Fatih ini sekali dalam hidupnya nescaya tidak akan dijilat api neraka.

10. Sesiapa membacanya 1000 kali pada malam Khamis dan Jumaat atau Isnin akan dihimpunkan bersama-sama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.